Memaparkan catatan dengan label KASIH SAYANG. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label KASIH SAYANG. Papar semua catatan

Isnin, 14 September 2009

keNapA taK NiKah jE??

oleh Fatimah Syarha Noordin


Menyorot dahsyatnya mitos cinta meracuni pemikiran generasi muda hari ini, pelbagai maksiat menular di sana-sini. Gadis hilang harga diri. Pemuda meratah dara sesuka hati. Anak pungut merata-riti. Ah, sekotor inikah cinta anak muda? Tidak! Cinta itu tidak kotor bahkan suci sekudus embun pagi. Tangan manusialah yang mengotorinya.

Aduhai pemuda-pemudi yang sedang hangat bercinta!

Bukankah Allah menyediakan jalan halal buat menyuburkan cinta yang sedang mekar antaramu dengan si dia? Kenapa tidak nikah saja? Boleh khalwat lama-lama.

"Ingat nikah tu senang?!" Mungkin ini persoalannya. Mungkin ini yang membelenggu pemikiran anak muda yang sedang bercinta. Sama ada jawapannya senang atau susah, setiap pasangan yang sudah jatuh hati perlu ada niat untuk memilih jalan halal lagi diberkati ini. Niat yang bersih berperanan mengawal diri agar terhindar dari lembah zina terkutuk dan segala perkara yang menghampirinya. Apa yang dinamakan cinta lelaki dan perempuan asing hanya boleh dinikmati selepas berumahtangga. Ingat tu!

Kunasihatkan diriku jua dirimu hai muda mudi, dalam urusan jodoh, apa pun keputusan buatlah sebagaimana yang dianjurkan oleh syarak dengan jalan istikharah dan musyawarah (berbincang). Andai di sana nampak keserasian, usah terlalu fikirkan masalah, berfikirlah dengan optimis.

Ambil langkah yang diizinkan Allah seterusnya iaitu dengan berkhitbah (bertunang) dan saling setia pada janji syarak yang dibina. Awas! Hindari segala perkara yang menghampiri zina lagi tidak diredhai-Nya.

Khusus buat pemuda-pemudi yang sedang dilamun cinta,

Penulis ingin berbicara dengan muda-mudi yang sedang lemas dalam lautan cinta. Teristimewa buat mereka yang tidak meletakkan nikah sebagai prioriti sekarang, demi untuk meneruskan belajar atau bekerja atau mengejar cita-cita.

Seringkali bila ditanya pada syabab (pemuda) tentang kenapa tak segera berzaujah (menikah), mereka amat risaukan masih tak mempunyai pekerjaan tetap.

Sedangkan ada hadis yang mana Nabi berpesan agar menyegerakan nikah bagi yang sudah bertemu calonnya. Pemuda selalunya bimbang jika tak mampu memberi nafkah kepada bakal bidadari dan seluruh isi rumahnya nanti. Faktor ekonomi amatlah membebankan benak mereka. Betulkan ya syabab?

Kerisauan ini lumrah... Ia lahir dari kesedaran bahawa perkahwinan itu bukan suka-suka tapi penuh tanggungjawab. Sesetengah orang membuat perhitungan hidup secara matematik, contohnya jika seorang memerlukan biaya Rm1000 maka dua orang memerlukan RM2000. Hidup sendiri pun sukar dibiaya apatah lagi membiayai hidup orang lain?

Faktor ini membuatkan sang pemuda takut berkahwin. Gambaran seperti ini semakin memberat apabila hidup dikuasai berhala bernama materialisme. Apatah lagi masyarakat terlalu meletakkan ukuran materialisme dalam menjalani hidup.

Al-Quran mengecam keyakinan materialisme seperti ini dan menyuruh kita berfikiran optimis. Lihatlah Allah memberi berita gembira berupa kecukupan kehidupan bagi pasangan yang berkahwin:

"Dan nikahkanlah orang yang sendirian di antara kamu, dan orang-orang yang layak nikah di antara hamba-hamba sahayamu yang perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memampukan mereka dengan kurnia-Nya, dan Allah maha luas pemberian-Nya lagi maha mengetahui." (An-Nur: 32)

Nah, itu jaminan Allah. Jaminan siapa yang lebih patut dipercayai?

Umar al-Khattab, sahabat agung, pernah berkata sebagaimana dikutip dari al-Qurtubhi: "Saya sangat takjub dan hairan dengan orang-orang yang tidak mahu menikah kerana takut miskin, dan tidak mahu mencari kekayaan melalui perkahwinan, padahal Allah telah menjaminnya."

Nabi Muhammad s.a.w. juga memberi gambaran yang praktikal. Dalam sebuah riwayat dari Abu Hurairah r.a.: "Makanan dua orang dapat mencukupi tiga orang, dan makanan tiga orang dapat mencukupi empat orang." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Tidak hairanlah Ibnu Mas'ud pernah berkata, "Carilah kekayaan dan rezeki melalui pernikahan," kemudian beliau membaca firman Allah dalam surah al-Nur, ayat 32. Apalagi, sama-sama hapuskan berhala materialisme dalam hati dan fikiran.

Buat kaum Hawa,

Yakin dan percayalah pada insan yang telah ditunjukkan Allah dalam istikharahmu walau apapun keadaannya pada masa ini, asalkan baik agamanya. Sama ada dia masih belajar atau masih bertukar-tukar kerja, percayalah padanya.

Buat syabab,

Rezeki Allah amat luas, jangan dirisaukan sangat. Walaupun sesuatu pekerjaan itu tidak terpandang di sisi masyarakat contohnya bekerja sendiri namun terakam mulia dalam hadis Rasulullah s.a.w. Beliau bersabda: "Pekerjaan yang terbaik adalah usaha seseorang dengan tangannya sendiri dan semua penjual beli yang baik." (Riwayat Ahmad, Baihaqi dan lain-lain)

Jika kerisauan untuk menikah disebabkan faktor orang tua, berbincanglah dengan mereka penuh hikmah. Hati mereka milik Allah, dipegang Allah dan boleh dilunakkan oleh Allah dalam sekelip mata. Ianya menuntut doa, kesungguhan dan keberanian. Orang tua akan cair jua dengan kebaikan kerana merekalah insan yang paling inginkan kebaikan untuk seorang anak. Percayalah!

Jika terubat segala kerisauan dan tertanam kukuh sebuah keyakinan maka laksanakanlah khibah (pertunangan)

Selama tempoh khitbah, berkongsilah apa yang dirasakan mustahak dan tidak terlalu kerap berhubung untuk menjaga kesucian ikatan. Tempoh itu sesungguhnya amat menguji. Pastikan ikatan itu terjaga dari kelalaian dan segala perbuatan yang menghampiri zina.

Laksanakanlah ikatan dengan mana yang paling memudahkan lelaki. Aisyah r.a. menjelaskan, "Sesungguhnya di antara keberkatan wanita ialah kemudahan peminangannya dan kemudahan maharnya." (Riwayat Ahmad)

Oh, kaum Hawa!

Tidakkah kamu mahu menjadi wanita yang berkat? Oh, mudah kahwin itu rupanya jika ikut agama!

Apa tunggu lagi wahai yang dah berpunya? Pilihlah untuk berkahwin. Takutlah pada Allah melebihi takutmu pada segala persoalan di benakmu. Yakinlah pada Allah. Berdoalah pada-Nya agar dipermudahkan nikah buatmu.

"Wahai para pemuda, siapa yang mampu, berkahwinlah! Sesungguhnya ia menundukkan pandangan dan menjaga kemaluan. Siapa yang tidak mampu maka berpuasalah." (Riwayat Bukhari)

Read more...

Rabu, 4 Mac 2009

BEGINIKAH CARA KITA?


Allah telah menciptakan manusia berpasang-pasangan, supaya muncul suatu ketenangan, kesenangan, ketenteraman, kedamaian dan kebahagiaan. Hal ini tentu saja menyebabkan setiap lelaki dan perempuan mendambakan pasangan hidup yang sememangnya merupakan fitrah setiap anak Adam, apalagi pernikahan itu merupakan ketetapan Ilahi dan dalam sunnah Rasulullah ditegaskan bahawa " Nikah adalah Sunnah baginda".
Oleh kerana itu Islam mensyariatkan dijalinnya pertemuan antara lelaki dan perempuan,seterusnya mengarahkan pertemuan tersebut sehingga terlaksananya suatu pernikahan.Namun begitu,hakikatnya untuk mencari pasangan yang sesuai bukanlah sesuatu yang mudah.
Hal ini berkaitan dengan permasalahan jodoh. Memang jodoh itu sendiri suatu hal yang ghaib dan sukar untuk di duga, kadang-kadang pada sebahagian orang jodohnya sangatlah senang, dan bagi yang lain amat sulit dan susah.Bahkan ada kalanya sampai tua seseorang belum menikah juga.
Fenomena akhir-akhir ini, kita melihat betapa ramainya muslimah yang menunggu kedatangan jodoh, sehingga tanpa terasa usia mereka semakin bertambah, sedangkan para musliminnya, bukannya tidak ada, mereka secara ma'isyah belum berani maju untuk melangkahkan kakinya menuju mahligai rumah tangga yang di damba selama ini..
Kekhuatiran sangat jelas, dalam keadaan kegawatan ekonomi yang semakin bermaharajalela, amat sukar bagi mereka untuk membuat keputusan berkaitan nikah kahwin ini.
Gejala ini merupakan salah satu dari masalah dakwah dewasa ini.Nampaknya kaum muslimah semakin terdesak, usia mereka bukanlah sentiasa muda remaja namun sudah pasti semakin beranjak naik.Oleh itu, dengan tetap berpegangan kepada syariat Islam yang memang diturunkan untuk kemashlahatan umat manusia, terdapat beberapa cara dan usaha untuk memenuhi tuntutan berkaitan jodoh ini :

1. Yang paling utama dan sepatutnya diutamakan adalah dengan sentiasa berdoa memohon kepada Allah, kerana Dialah yang menciptakan manusia berpasang-pasangan (QS.4:1). Permohonan kepada Allah SWT dengan meminta jodoh yang diredhai-Nya, merupakan keperluan penting manusia kerana kejayaan seseorang mendapat jodoh memberi pengaruh yang sangat besar dalam kehidupan dunia dan akhirat seseorang.

2. Melalui orang tengah, seperti :
a. Ibu-bapa. Seorang muslimah boleh meminta orang tuanya untuk mencarikannya jodoh dengan menyebut kriteria yang diinginkan. Pada zaman Rasulullah S.A.W, beliau dan para sahabat segera menikahkan anak perempuan. Sebagaimana cerita Fatimah binti Qais, bahawa Nabi SAW bersabda padanya :” Kahwinlah dengan Usamah. Lalu aku kahwin dengannya, maka Allah menjadikan kebaikan padanya dan keadaanku baik dan menyenangkan dengannya.”(Hr.Muslim).
b. Guru (murobbiyah).Jika memang sudah terdesak untuk menikah,tidak salah seorang muslimah untuk meminta tolong kepada gurunya agar dicarikan jodoh yang sesuai untuknya. Dengan keyakinan bahawa jodoh bukanlah ditangan guru atau ustaz-ustazahnya. Ini adalah salah satu usaha dalam mencari jodoh.
c. Sahabat terdekat. Kebiasaannya, seorang muslimah selalu berkongsi cerita dan hasrat hati pada sahabatnya. Oleh itu perkara ini bukanlah jelik jika kita mengutarakan keinginan untuk dicarikan jodoh. Sebagai gambaran, kita melihat perjodohan antara Nabi SAW dengan saidatina Khadijah ra. Dimulakan dengan tertariknya saidatina Khadijah ra kepada peribadi Rasulullah yang pada saat itu menjadi peniaga pada perniagaan milik saidatina Khadijah. Melalui Nafisah sebagai pengantaranya akhirnya Nabi SAW menikahi Khadijah ra..
d. Biro Jodoh. Biro jodoh yang Islamic atau yang selalu kita dengar seperti baitul muslim dapat memenuhi keinginan seorang muslimah untuk menikah. Dikatakan Islamic kerana prosedur yang dilakukan sesuai dengan syariat Islam.

3. Secara langsung, dalam erti kata calon sudah dikenal terlebih dahulu dan ia berakhlak mulia menurut kebanyakan orang-orang yang dekat dengannya (temannya atau pihak keluarganya). Namun begitu, berhubungan sebelum kahwin dalam istilah senang “couple” tetap dilarang oleh Islam. Oleh itu jika masing-masing sudah suka dan serasi maka segeralah melamar dan menikah.Kadang kala yang tertarik terlebih dahulu adalah muslimahnya, maka dia dapat menawarkan dirinya kepada lelaki soleh yang dia senangi tersebut (dalam hal ini belum lazim ditengah-tengah masyarakat kita).

Seorang sahabiah pernah datang kepada Nabi SAW dan menawarkan dirinya pada beliau. Maka seorang wanita mengkritiknya, "Betapa sedikit rasa malunya." Ayah wanita tersebut yang mendengar kritikan puterinya itu menjawab, "Dia lebih baik daripada kamu, dia menginginkan Rasullullah SAW dan menawarkan dirinya kepada baginda.

"Sebuah kisah yang boleh kita jadikan teladan dan pengajaran hasil karya Abdul Halim Abu Syuqqoh pengarang buku Tahrirul Mar'ah, dikisahkan bahawa ada seorang temannya yang didatangi oleh seorang wanita untuk mengajaknya menikah. Temannya itu merasa terkejut dan hairan, maka wanita itu bertanya, "Apakah aku mengajak anda untuk berbuat haram? Aku hanya mengajak anda untuk kahwin sesuai dengan perintah Allah dan sunnah RasulNya". Maka terjadilah pernikahan selepas itu.

Semua usaha tersebut hendaklah dilakukan satu persatu dengan rasa sabar dan tawakkal tanpa mengenal putus asa.Disamping itu seorang muslimah janganlah sahaja “dok” menunggu jodohnya,sebaiknya ia mengaktualisasikan kemampuannya dalam macam-macam perkara. Lakukanlah apa yang dapat dilakukan sehingga memberi manfaat kepada masyarakat dan dakwah. Jika seorang muslimah kurang pergaulan, bagaimana ia dapat mengenal orang lain yang ingin menikahinya.Pergaulan disini bukan bermaksud percampuran sesama lelaki dan perempuan dan mengingkari batas agama.

Mungkin juga disebabkan muslimah itu terlampau meng”evaluate” ciri-ciri suami idaman sehingga tidak mampu mendapat calon yang dapat memenuhi kriteria yang dia inginkan.Menikah dengan orang hanif (baik agamanya) merupakan salah satu alternatif yang perlu diperhatikan sebagai suatu jalan dakwah baginya.Akhirnya, semua usaha yang telah dilakukan diserahkan kembali kepada Allah SWT. Ia Maha Mengetahui jalan kehidupan kita dan kepada- Nya lah kita berserah diri.
Wallahu Aa’lam bishowab..

Read more...

  © Blogger templates ProBlogger Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP